May 13, 2026 - FASSelangor FC akan bertandang ke Stadium Thien Truong bagi perlawanan Separuh Akhir kedua saingan ACC Shopee Cup™ menentang Nam Dinh FC pada jam 6:30 petang waktu Malaysia.
Pasukan kini memegang kelebihan satu gol dari perlawanan pertama, yang berkesudahan 2-1 hasil dua gol Chrigor Moraes. Baca reviu penuh di sini.
Menurut Kim Pan-gon, Ketua Jurulatih Selangor FC, yakin para pemain bersedia menghadapi tekanan sebagai pasukan pelawat.
“Saya percaya pasukan sudah bersedia dengan baik untuk perlawanan ini, dari segi psikologi dan mental. Kami sedar bahawa ini adalah detik yang sangat kritikal untuk kelab kami. Kita tahu Nam Dinh FC mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri dan akan menyerang kami dengan kuat, tetapi kami juga sudah bersedia bukan sahaja untuk bertahan tetapi juga untuk mencipta peluang. Kita mensasarkan untuk menjaringkan gol awal, walaupun bermain di tempat lawan. Saya harap kita akan mempamerkan aksi yang menarik dan menghiburkan untuk para penyokong,” kata Kim Pan-gon berkenaan persediaan pasukan.
“Nam Dinh FC merupakan sebuah pasukan yang kuat tetapi saya yakin dengan pemain-pemain Gergasi Merah. Kita akan mengekalkan ciri-ciri permainan seperti sebelum ini walaupun di bawah tekanan yang sangat tinggi. Kita bersedia untuk apa jua situasi yang akan berlaku dan menjaringkan gol awal adalah sangat penting, jadi keseimbangan dan fokus untuk mengambil peluang yang ada sangat penting. Saya percaya para pemain cukup kuat untuk mengatasi cabaran ini sepanjang aksi 90 minit, dalam usaha untuk mara ke perlawanan akhir,” yakin beliau terhadap para pemain Gergasi Merah.
Pihak pengurusan Selangor FC mendoakan kejayaan pasukan. Ayuh, Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!